Wednesday, November 10, 2010

Sawit Penawar Kanser Hati



Ketua Jabatan Biokimia Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Wan Zurinah Wan Ngah.
KELAPA SAWIT PENAWAR KENSER HATI
KANSER hati atau kanser hepar merupakan salah satu kanser yang paling sering ditemui dengan kadar 250,000 hingga sejuta pesakit setahun.
Berbanding negara Barat dan negara maju yang lain, Asia Timur serta Asia Tenggara mencatatkan jumlah pesakit tertinggi.
Situasi itu menjadikan usaha untuk mencari penawar kepada penyakit ini agak lesu kerana kajian lebih tertumpu ke arah mencari penyelesaian penyakit kanser yang lain seperti kanser payu dara, kanser tulang dan kanser kulit.
Bagaimanapun faktor itu memberikan kesedaran kepada Ketua Jabatan Biokimia Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Wan Zurinah Wan Ngah untuk ‘bertapa’ dalam makmalnya selama lapan tahun bagi mencari penawar kepada penyakit kanser hati yang menjadi masalah besar kepada masyarakat Asia.
Hasil usaha keras selama lapan tahun itu akhirnya membuahkan kejayaan apabila beliau berjaya membuktikan sigma tokotrienol yang terdapat dalam vitamin E dalam minyak kelapa sawit (‘palm vitee) mampu mengurangkan proses keterukan barah hati.
Ia merupakan pertemuan pertama seumpamanya di negara ini.
Pertemuan ini dibentangkan semasa menyampaikan syarahan perdana sempena pelantikan ke jawatan profesor bertajuk ‘Kesan Perlindungan Vitamin E Kelapa Sawit Ke Atas Kanser Hepar’ di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sigma tokotrienol merupakan satu daripada lapan jenis vitamin E. Jenis vitamin E ini mempunyai taburan yang luas dalam tumbuhan umum, tetapi kurang dalam minyak sayuran kecuali minyak kelapa sawit.
Justeru itulah, kajian di makmal ini ditumpukan kepada sigma tokotrienol (sejenis tokotrienol yang terbanyak dalam kelapa sawit) dan perbandingan juga dilakukan dengan sejenis lagi vitamin E yang dikenali sebagai alfa tokoferol.
Kajian ke atas vitamin E dan kanser telah banyak dilakukan dengan menggunakan model haiwan dan kajian epidemiologi.
Dalam konteks ini, pelbagai jenis kanser telah dikaji termasuk kanser oral, gaster, kolon, pankreas, hati, kulit dan payu dara.
Bagaimanapun, sebelum ini, kajian yang dilakukan adalah menggunakan alfa tokoferol sebagai sumber vitamin E.
Di Institut Penyelidikan Minyak Kelapa Sawit Malaysia (PORIM) sigma tokotrienol dikenal pasti sebagai sumber vitamin E untuk menghalang pembentukan sel barah payu dara.
Dalam melengkapkan kajian, Prof. Wan Zurinah menggunakan dua kaedah kajian praklinikal digunakan iaitu ‘in vitro’ dan ‘in vivo’.
Kajian ‘in vitro’ melibatkan kajian luaran di mana keberkesanan sigma tokotrienol terhadap sel kanser hati diuji dalam bekas kultur.
Kaedah ‘in vivo’ pula melibatkan penyuntikan sel barah ke dalam haiwan kajian iaitu tikus dan kemudiannya diberikan suplimen sigma tokotrienol.
Hasil kajian mendapati dengan dos rendah 30 mg/kg diet, alfa tokotrienol dapat mengurangkan keterukan proses keterukan barah hati dan lebih berkesan lagi jika suplimentasi dimulakan awal iaitu serentak atau empat minggu selepas barah dikesan.
Jika pembentukan kanser telah berkembang, pengambilan vitamin E ini kurang memberi kesan perlindungan. Bagaimanapun kesan perlindungan akan lebih ketara apabila pengambilan vitamin diteruskan sehingga sembilan bulan.
Menurut Prof. Wan Zurinah, hasil daripada penemuan ini telah membuahkan kepada penyelidikan-penyelidikan lain yang berkaitan.
Antaranya menurut beliau ialah melihat kesan Vitamin E ini ke atas manusia terutama mereka yang mempunyai risiko tinggi untuk menghadapi penyakit kanser hati seperti pesakit hepitatis B kronik.
Katanya, ini akan melibatkan kajian ‘Nutrition intervention trials’ yang selalunya melibatkan perbelanjaan yang sangat besar dan masa yang lama.
Di samping itu katanya, kajian lain yang boleh dilakukan ialah untuk melihat keperluan harian (RDA) vitamin E untuk orang normal dan pesakit.

0 comments:

Post a Comment